JULAI 2023

Premier Saksikan Majlis MoU Pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar


KUCHING, Premier Sarawak,  Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar di antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan pada petang Khamis.

Majlis menandatangani MoU tersebut dilakukan di antara Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mewakili Kerajaan Persekutuan  dan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin mewakili Kerajaan Sarawak.

Pengambilalihan itu  bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan bukan sahaja dalam Sarawak dan Sabah namun dengan bandar-bandar lain di Malaysia dan destinasi antarabangsa serantau dan merupakan komitmen Kerajaan dalam membantu rakyat. Kerajaan Sarawak akan terus mengadakan rundingan dengan pihak Malaysia Aviation Group (MAG) dan Khazanah Nasional Berhad bagi mengambil alih saham MASwings Sdn Bhd pada 24 Julai nanti.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Professor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil dan Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Ketua-ketua Jabatan.

Sumber dari : Sarawakku